8 Langkah Cuci Enjin Kereta Cara Betul!


WALAUPUN bertutup, debu dan habuk boleh masuk ke bahagian enjin menerusi celahan kecil bonet, atau boleh juga dari ruang bawah enjin yang terbuka. Jika dibiarkan, debu akan berkumpul dan menebal hingga menyebabkan enjin kotor.

Mungkin ini perkara remeh, tetapi perlu diketahui debu yang memenuhi bahagian enjin boleh membuatkan kerja enjin tidak optimum. Malah, berisiko merosakkan komponen elektrik. Namun, kerja membersihkan enjin pula tidak boleh dilakukan sembarangan.

Bahagian enjin ada beberapa komponen elektrik seperti pin sambungan kabel, unit kawalan elektronik (ECU) dan bahagian elektrik lain.




JADI BAGAIMANAKAH PENYELESAIANNYA?

Perkara pertama perlu dilakukan ialah periksa dulu bahagian elektrik yang boleh menyebabkan litar pintas jika terkena air. Bahagian itu perlu diselamatkan dulu dengan membalut menggunakan plastik supaya air tidak boleh masuk.

Kemudian, barulah proses mencuci boleh bermula. Berikut beberapa tip mencuci bahagian enjin dengan betul:

1. Sembur enjin guna air bertekanan rendah untuk menghilangkan debu yang melekat, terutama pada bahagian sukar dijangkau.
2. Letakkan cairan khas nyah gris untuk menanggalkan kotoran degil. Sekarang boleh mula memberus permukaan enjin secara perlahan guna berus halus.
2. Bahagian celahan kecil pula boleh guna berus gigi atau berus kecil yang boleh dibeli di kedai perkakasan. Jika berus gigi, pastikan bukan yang digunakan untuk menggosok gigi setiap hari.
3. Bilas enjin dengan air bersih untuk menghilangkan sisa kotoran, termasuk membilas sisa sabun yang masih melekat sekitar enjin.
4. Jika ada alat pistol angin, boleh gunakan untuk membersihkan sisa air di kawasan sempit.
5. Bagi mengelak kesan tompok air (waterspot), biarkan bonet terbuka 2-3 jam untuk memastikan bahagian enjin kering sempurna.
6. Kemudian buka kembali balutan kabel yang menutup komponen elektrik.
7. Sebaiknya proses cucian dilakukan di kawasan terbuka, tetapi bukan di bawah sinar matahari secara langsung supaya tidak merosakkan cat kereta.

Selepas kering sepenuhnya, hidupkan enjin sambil periksa semua komponen yang bersambung dengan sistem elektrik bermula lampu depan, kecemasan, brek dan signal, termasuk bahagian lain. Selamat mencuba!

kredit: pandulaju